ISU DAN CABARAN
PENGINTEGRASIAN TEKNOLOGI
DALAM PENDIDIKAN
Penggunaan komputer dalam pendidikan sudah tentu akan melibatkan
pengintegrasian teknologi seperti CD-ROM, pangkalan data, multimedia dan
internet. Perubahan pendidikan melalaui revolusi teknologi maklumat sudah tentu
memberi cabaran kepada kreadibiliti kaum guru. Guru tidak lagi menjadi satu
faktor yang penting sebagai penyampai atau pemberi ilmu pengetahuan. Peranan
guru akan berubah daripada pengajar dan pendidik kepada pemudahcara, tutor,
perancang dan penilai pembelajaran murid. Perkembangan ICT yang pesat juga
turut menyaksikan guru bukan hanya akan didapati di sekolah, malah pelajar akan
mempunyai lebih ramai "guru" menerusi pembelajaran menggunakan
internet.
Di sini letaknya menjadi peranan guru dan institusi sekolah
dalam mengadakan kawalan dalaman dan kawalan luaran. Kawalan secara dalaman
kepada pelajar boleh dilaksanakan melalui penghayatan nilai moral, etika,
budaya dan agama dalam organisasi dan masyarakat, pengukuhan falsafah dan
prinsip kehidupan dengan menanamkan niat untuk membawa kebaikan kepada alam
sejagat dan juga kekuatan rohani dalam menempuh sebarang cubaan. Kawalan secara
luaran pula dilaksanakan dalam bentuk penguatkuasaan etika dan peraturan yang
berkaitan dengan penggunaan komputer.
Bagaimanapun, kawalan luaran hanya dapat dilaksanakan semasa
pelajar berada di sekolah sahaja manakala kawalan dalaman berlaku secara
berterusan tanpa mengira masa dan tempat. Ini jelas menunjukkan bahawa dalam
setiap perkara, kawalan dalaman perlu diutamakan dan penghayatan kepada FPK
merupakan suatu kemestian sama ada kepada guru ataupun pelajar.
Perubahan peranan guru memerlukan guru-guru dilatih dan
didedahkan dengan kemahiran baru supaya mereka tahu mengendalikan dan
menggunakan teknologi maklumat dengan berkesan di sekolah. Dalam tempoh RMK-8,
Bahagian Pendidikan Guru (BPG) menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
telah diberi tanggunghawab untuk memberi penekanan khusus terhadap penggunaan
ICT dan kaedah pengajaran kreatif dengan mengkaji semula kurikulum latihan
guru, mempergiatkan penggunaan komputer bagi mendapatkan bahan pembelajaran,
menyediakan kursus jangka pendek dalam latihan guru oleh Pusat Sumber
Pendidikan Negeri (PSPN).
Bagaimanapun, guru sendiri hendaklah bersikap proaktif supaya
mempunyai kemahiran yang diperlukan dengan belajar sendiri. Bukan setakat guru,
malah pentadbir sekolah serta personel KPM juga perlu celik komputer. Ini
adalah kerana penggunaan komputer tidak terbatas untuk pengajaran dan
pembelajaran sahaja, malah pengurusan yang dibantu dengan komputer akan menjadi
lebih efisien.
Penguatkuasaan akta-akta berkaitan dengan teknologi maklumat
juga memberi implikasi terhadap sistem pendidikan negara. Memandangkan kos
untuk mendapatkan perisian asli adalah terlalu tinggi dan pihak sekolah tidak
berkemampuan untuk membelinya, kegiatan cetak rompak berleluasa di
sekolah-sekolah. Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Hakcipta (Pindaan) 1997,
diharapakan dapat menghadkan dan membanteras masalah yang paling besar dalam
industri ICT di Malaysia iaitu cetak rompak perisian. Dengan ini kerajaan
berharap dapat meningkatkan kandungan tempatan dan aplikasi berasas komputer di
Malaysia.
Bagaimanapun, adakah dengan penguatkuasaan akta semata-mata
merupakan langkah membendung kegiatan cetak rompak yang baik? Perkembangan ICT
yang terlalu pesat telah menyaksikan pelbagai perisian baru silih berganti di
pasaran. Di samping penguatkuasaan undang-undang, apakah alternatif lain yang
disediakan oleh KPM supaya guru berpeluang menggunakan perisian ini secara
halal demi pendidikan anak didiknya?
Menjelang penghujung RMKe-8, semua sekolah dijangka akan
mempunyai makmal komputer. Ini bermakna, proses pengajaran dan pembelajaran
dapat dilaksanakan dengan integrasi komputer. Begitu juga dengan mempunyai
jangkauan internet dan mengakses lab web tertentu, khususnya pendidikan
membolehkan guru mempunyai pelbagai sumber untuk digunakan dalam pengajaran di
bilik darjah. Sumber maklumat pelajar tidak lagi terbatas di sekolah atau
perpustakaan sahaja. Pelajar boleh mendapatkan apa sahaja maklumat sama ada
berbentuk pendidikan atau hiburan semata dengan begitu mudah sekali. Kewujudan
laman-laman lucah dalam internet yang semakin berleluasa pada masa kini
merupakan suatu gejala yang sukar dibanteras.
Di samping kebaikan yang didapati melalui integrasi komputer
dalam pendidikan, keburukan juga tetap datang. Kemungkinan untuk pelajar-pelajar
ini menerima pengaruh negatif internet adalah tinggi. Oleh itu, guru sewajarnya
mendedahkan etika dan undang-undang menggunakan komputer kepada para
pelajarnya. Akta Jenayah Komputer 1997 yang telah wujud ini boleh membantu guru
dalam mengadakan etika penggunaan komputer pada peringkat sekolah bagi
membendung pengaruh negatif internet kepada pelajar. Tugas ini agak sukar
dilaksanakan memandangkan capaian internet pada masa kini tidak terbatas di
sekolah sahaja.
Pada masa kini, kafe siber beroperasi di merata tempat tanpa
sebarang kawalan undang-undang yang ketat. Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 pula didapati menjamin keselamatan komunikasi antara pengguna. Ini kerana
menurut akta ini memintas komunikasi elektronik adalah menjadi satu kesalahan.
Justeru itu penggunaan internet dalam bidang pentadbiran atau perkhidmatan
pendidikan akan lebih diyakini. Contohnya penggunaan internet untuk memudahkan
komunikasi dalam Jabatan dan Bahagian dalam Kementerian Pendidikan, seterusnya
di Negeri, Daerah dan Sekolah. Dengan adanya Akta Hakcipta (Pindaan) 1997 rekod
rangkaian peperiksaan berpusat, inventori sekolah, kemudahan pendidikan,
maklumat peribadi akan dilindungi keselamatannya.
Akta Tandatangan Digital 1997 pula akan memudahkan pengurusan
dalam bidang pendidikan. Pihak kementerian dapat menyebarkan maklumat
pendidikan yang terkini kepada sekolah atau masyarakat setempat serta dapat
berurusan secara digital dengan pihak Kementerian Pendidikan luar negara
seperti negara ASEAN dengan lebih efektif dan tidak memerlukan kos yang tinggi
dan masa yang lama.
Secara keseluruhannya, kemajuan teknologi maklumat di Malaysia
telah mengalami perkembangan yang begitu pesat. Bagaimanapun, terdapat beberapa
isu berkaitan dengan dengan pengunaan teknologi maklumat ini iaitu masalah
etika penggunaan teknologi maklumat, isu hak cipta dan masalah keselamatan
data. Menguatkuasakan undang-undang semata-mata bukan penyelesaiannya. Apa yang
lebih penting ialah kesedaran setiap individu terhadap tanggungjawab menguruskan
alam ini dengan penuh bijaksana dan berhemah. Bidang pendidikan didapati
terlibat secara langsung dalam menanamkan kesedaran ini di samping sokongan
daripada pihak-pihak berwajib yang lain.
Masalah-Masalah Yang Timbul/Wujud Dari Penggunaan Komputer Dalam
Pendidikan
Sebagaimana yang telah dihuraikan tadi, aplikasi komputer dalam
bidang pendidikan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu pentadbiran
pendidikan, penyelidikan pendidikan dan pengajaran dan pemelajaran. Disebabkan
masalah-masalah yang timbul di dalam ketiga-tiga bahagian ini hampir sama, kita
akan membincangkan masalah-masalah aplikasi komputer dalam pendidikan ini
secara bersepadu.
a) Latihan Ulangan
Terdapat banyak perisian aplikasi pengautomasian pejabat di
pasaran. Terdapat juga berbagai-bagai jenis perisian untuk penyelidikan mahupun
untuk pendidikan. Setiap orang perseorangan yang ditugaskan mengendalikan
perisian-perisian ini samada guru, kerani, pegawai penyelidik atau lain-lain,
perlu menjalani latihan menggunakan perisian tersebut di samping mempelajari
cara penggunaan komputer itu sendiri. Masalah akan timbul sekiranya orang
perseorangan atau pekerja terbabit berhenti atau ditukarkan ke bahagian lain.
Latihan perlu dilakukan semula kepada pengguna pengganti.
b) Kos Yang Tinggi
Kos mendapatkan peralatan dan perisian komputer masih lagi
tinggi walaupun dijangkakan akan menurun. Kita bimbang dengan perkembangan
pesat teknologi maklumat, syarikat-syarikat atau orang perseorangan sentiasa
mengeluarkan peralatan dan perisian baru yang berharga tinggi.
Kerja-kerja penyelidikan selalunya memakan masa yang panjang.
Oleh itu kos yang tinggi diperlukan dari segi penyenggaraan sistem, tenaga
pekerja, peralatan-peralatan bantuan dan terutamanya sekali perkakasan yang
diperlukan.
Disebabkan bidang teknologi maklumat dalam pendidikan masih baru
dan tinggi permintaannya, maka institusi-institusi pengajian bertindak
menaikkan yuran untuk mengikuti kursus-kursus tersebut. Pelajar-pelajar pelu
memiliki komputer sendiri untuk mengelakkan persaingan di makmal-makmal
komputer institusi pengajian.
c) Laporan/Maklumat
Tidak Tepat
Staf yang ditugaskan mengendalikan perisian atau memasukkan data
boleh mengakibatkan laporan yang diproses atau dianalisis oleh perisian tidak
tepat. Ianya boleh berlaku umpamanya seperti kerja kemasukan data yang banyak
dan berterusan.
Kesilapan juga boleh berlaku terhadap hasil penyelidikan
sekiranya berlaku kecuaian semasa memasukkan data atau kesilapan dalam
pembangunan sistem penyelidikan itu sendiri kerana kompleksnya sesuatu sistem
penyelidikan tersebut.
Kemunculan virus-virus komputer boleh juga mengakibatkan
kesilapan dalam analisis data.
d) Pergantungan Tinggi
Kepada Komputer
Staf yang biasa atau selalu menggunakan komputer untuk membantu
kerja-kerjanya mungkin boleh menyebabkan kerja-kerja tertangguh sekiranya
terjadi sesuatu yang di luar jangkaan seperti kerosakan kepada komputer atau
tenaga elektrik.
Pemelajaran di dalam kelas juga boleh terganggu sekiranya guru
hanya bergantung kepada komputer untuk melaksanakan pengajaran.
e) Jenayah Kolar Putih
Terhadnya staf yang diberi kebenaran menggunakan komputer atau
yang mahir menggunakan kompuer boleh menggalakkan jenayah kolar putih dengan
mengelirukan angka-angka pada data komputer kerana ianya sukar dikesan.
f) Kurang Kepakaran
Kerja-kerja penyelidikan berbantukan komputer memerlukan tenaga
kerja yang bukan sahaja pakar dalam bidang penyelidikan tersebut tetapi juga
mahir dalam bidang komputer terutamanya sewaktu proses pembangunan sistem
penyelidikan.Guru-guru yang pakar mengendalikan komputer juga diperlukan untuk
melaksanakan pengajaran berbantukan komputer atau literasi komputer.
g) Sosialisasi
Kerja-kerja penyelidikan berkomputer juga boleh menyebabkan staf
penyelidikan terlalu taksub terhadap komputer atau tugasnya hingga boleh
melalaikan dari bersosial dengan masyarakat luar. Ia juga boleh melenyapkan
empati terhadap orang lain kerana terlalu serius dalam tugas.
Penggunaan komputer sebagai alat pengajaran juga boleh
mengakibatkan interaksi antara guru dan murid berkurang sekiranya guru tidak
peka kepada tanggungjawab guru sebenarnya bukan hanya sekadar mengajar tetapi
juga mendidik dan membimbing.
h) "Computer
Phobia"
Disebalik perkembangan pesat dalam pengkomputeran, wujud juga
segolongan manusia yang tidak berupaya atau berpeluang mengikuti perkembangan
pesat teknologi maklumat. Mereka ini boleh bersikap takutkan komputer atau
tidak mahu menggunakan komputer kerana kurang keyakinan mereka terhadap
komputer. Di hati mereka boleh juga wujud rasa rendah diri apabila berada di
kalangan individu yang celik komputer.
i) Internet
Internet tidak dimiliki oleh sesiapa. Setiap pengguna Internet
bebas memasukkan apa-apa maklumat yang ingin mereka sampaikan kepada pengguna
lain. Oleh itu adalah sukar bagi pihak pendidikan untuk menapis
kandungan-kandungan yang baik dan elok sahaja untuk pelajar-pelajar.
Cara Mengatasi Masalah-Masalah Yang Wujud Kesan Dari Penggunaan
Komputer
Berikut merupakan cadangan-cadangan yang difikirkan sesuai untuk
mengatasi masalah-masalah yang wujud dari kesan penggunaan komputer. Kami
mengklasifikasikan kepada tiga bahagian iaitu dari segi pentadbiran,
penyelidikan dan pengajaran dan pemelajaran.
Dari segi pentadbiran, adalah perlu pihak pengurus atau
pentadbir mengambil kira dari segi pembangunan sumber manusia. Adalah
dicadangkan supaya pihak pentadbir :
• Mempertingkatkan
latihan kepada kakitangan
Ini adalah untuk menyediakan kakitangan mereka menghadapi
perkembangan teknologi maklumat yang terkini. Sekiranya semua kakitangan telah
diperlengkapkan dengan kemahiran-kemahiran yang sepatutnya, sudah tentu masalah
kehilangan tenaga pakar tidak berlaku andainya terjadi pertukaran kakitangan
pada organisasi tersebut.
• Menitikberatkan
kebajikan pekerja
Pihak pentadbir juga perlu menjaga kebajikan pekerja untuk
mengelakkan berlakunya perpindahan pekerja ke organisasi lain. Malah masalah
seperti kemasukan data yang salah (Garbage In Garbage Out - GIGO) dapat
dihapuskan sekiranya pentadbir memberi peluang dan masa yang secukupnya untuk
kakitangan mereka menjalankan tugas. Selalunya kesilapan berlaku kerana
kecuaian pekerja yang melakukan kerja secara tergopoh-gapah. Mungkin kerana
mahu cepat siap, faktor kuantiti sahaja yang diambil kira, dan ini menyebabkan
mereka mengabaikan faktor kualiti. Kebajikan pekerja perlu diambil berat.
Adalah dicadangkan juga setiap data atau maklumat yang dimasukkan disemak oleh
"Quality Control". Ini dapat menghasilkan data yang lebih tepat dan
jitu.
• Penerapan Nilai-nilai
murni
Jenayah kolar putih sering berlaku kerana kakitangan tidak
mempunyai sikap jujur,amanah dan bersih. Penerapan nilai-nilai murni adalah
wajar disarankan untuk diserapkan ke dalam jiwa dan sanubari kakitangan. Di
samping itu, pihak pentadbir bertanggungjawab untuk mengambil inisiatif segera
dalam memahami dan mengatasi masalah yang dihadapi kakitangan mereka.
Penyelewengan mungkin berlaku kerana tekanan emosi atau kesempitan wang. Oleh
itu, kemungkinan kepincangan pada pihak pentadbiran mungkin boleh mengakibatkan
berlakunya gejala negatif seperti ini. Sekiranya kebajikan pekerja
• Melahirkan graduan
yang berkualiti
Institusi Pengajian Tinggi serta institusi swasta juga memainkan
peranan yang penting terhadap kekurangan tenaga mahir tempatan dalam bidang
teknologi maklumat. Dengan adanya graduan yang berkualiti dan berkuantiti ini,
maka masalah tenaga pakar dapat dimansuhkan. Graduan-graduan inilah yang akan
menerajui teknologi komputer dimasa hadapan.
• Menguatkan akta
hakcipta dari segi undang-undang
Sememangnya akta hakcipta dari segi undang-undang telah ada.
Namun begitu tindakan yang serius tidak dijalankan yang menyebabkan berlakunya
kesalahan menggunakan perisian tanpa lesen yang sah. Keadaan ini memaksa
pengeluar mencipta virus, yang walaupun pada asalnya bertujuan untuk memelihara
perisian mereka, telah sedikit sebanyak menyusahkan pengguna yang lain.
Sekiranya undang-undang diperketatkan, sudah tentu tidak wujud lagi situasi
penggunaan "pirate copy". Disamping itu juga, sekiranya kos perolehan
perisian dapat diturunkan akan menggalakkan pengguna mendapatkan perisian yang
asli dan tidak "pirate copy".
• Pembuatan perbuatan
komputer tempatan
Pengeluaran peralatan teknologi dari tempatan juga adalah
digalakkan. Dengan penghasilan produk ini secara tempatan, sudah tentu kos
pembuatan dapat dikurangkan dan seterusnya kos peralatan juga dapat diturunkan
sebanyak mungkin.
• Pemilihan yang bijak.
Perolehan peralatan juga perlu dibuat dengan bijak. Beli
peralatan yang perlu sahaja dan elakkan dari pembaziran wang dengan membuat
perolehan yang tidak penting. Cara ini dapat mengurangkan kos perolehan
peralatan teknologi maklumat.
• Luangkan Masa
Bersosial dan Prinsip diri.
Seringkali penggunaan teknologi maklumat dikaitkan dengan
pengurangan nilai-nilai sosial dikalangan masyarakat. Pihak bertanggungjawab
perlu sedar tentang ini dan hendaklah beri masa yang sesuai untuk membolehkan
kakitangan mereka bergaul dengan masyarakat. Malah pada pendapat kami dengan
adanya kemudahan teknologi maklumat, sekiranya digunakan dengan bijak boleh
merapatkan hubungan samada pada lokasi yang dekat mahupun di hujung dunia,
kerana teknologi komputer telah melahirkan "global village". Manusia
menjadi semakin dekat tanpa mengira faktor geografi dan jarak.
Dari segi pengajaran dan pembelajaran pula, perkara-perkara yang
disarankan ialah :
• Peruntukan dari
Kerajaan
Untuk mengatasi masalah kurang kelengkapan dan peralatan
komputer di sekolah-sekolah dan institusi pengajian, pihak kerajaan perlu
campurtangan dengan memberikan peruntukan yang secukupnya untuk membolehkan
organisasi terbabit melengkapkan institusi pengajian dengan kemudahan dan
kelengkapan yang mencukupi untuk semua pelajar.
• Tingkatkan keselamatan
komputer
Kejadian-kejadian seperti di San Diego di mana tiga orang
pelajar telah digantung pengajian mereka kerana cuba memecah masuk ke sistem
komputer sekolah untuk menukar gred dan tugasan mereka; di UCLA di mana Ronald
Austin seorang pelajar universiti tersebut telh didakwa kerana cubaan memecah
masuk ke 200 akaun yang dimiliki oleh Advanced Research Projects Agency Network
(Arpanet) akan dapat dihapuskan sekiranya langkah berjaga-jaga diambilberat.
Malah keselamatan komputer perlu diambil berat untuk mengelakkan gejala negatif
seperti ini berlaku lagi.
• Guru Tidak Terlalu
bergantung kepada perisian
Kurangnya interaksi antara guru dan pelajar juga sering
dikaitkan dengan adanya teknologi komputer. Dalam hal ini, sebagai guru kita
hendaklah bertindak dengan bijak. Sifat terlalu bergantung kepada perisian
perlu dilenyapkan. Guru-guru perlu bertindak sebagai pembimbing dan
penunjukcara yang aktif. Dengan ini dapat merapatkan lagi hubungan guru dengan
murid dan dapat memperbanyakkan interaksi dengan pelajar. Mahu seribu daya,
tidak mahu seribu dalih, pepatah lama perlu dipegang.
• Didikan awal
Didikan awal dan penerapan nilai-nilai murni adalah penting
untuk melahirkan generasi bermaklumat yang bermoral. Sekiranya didikan
nilai-nilai murni telah ditanam di jiwa pelajar-pelajar, tidak akan berlaku
kesalahan atau jenayah komputer yang membimbangkan generasi akan datang.
• Membudayakan
Masyarakat
Masyarakat perlu dibudayakan dengan pendedahan kepada teknologi
komputer. Inisiatif ini perlu diambil oleh setiap individu itu sendiri. Setiap
individu hendaklah cuba mempertingkatkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran
terkini. Malah membudayakan masyarakat dengan literasi komputer akan menjadi
lebih mudah sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dan kerjasama
yang serius.
Kesimpulan
Tidak dinafikan perkembangan pesat teknologi maklumat khususnya
komputer telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat. Namun begitu
perkara ini masih boleh dibendung jika setiap individu mengambil tindakan yang
serius untuk mengatasinya. Sekiranya langkah yang sesuai dan betul dilaksanakan
oleh pihak yang bertanggungjawab, perkembangan pesat ini boleh memajukan
sesebuah negara dan dunia amnya. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.
Bergantung kepada usaha dan inisiatif kita untuk membendung masalah ini dan
menggunakan teknologi komputer sebaik mungkin.
Blog Pendidik
Berwawasan, Aishah Netty, sebab memilih blog ini adalah disebabkan maklumatnya
amat berguna kepada saya terutama menyiapkan blog saya ini.