APLIKASI KOMPUTER DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU : PENGUASAAN GURU
DAN KEKANGAN DALAM PELAKSANAAN
Oleh : Yahya Othman, PhD, Roselan
Baki, PhD
Pengajaran bahasa dengan menggunakan
komputer adalah antara kaedah pengajaran yang dianggap bersesuaian dengan
keperluan pendidikan kini. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa mampu
mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan kemahiran bahasa
pelajar. Persoalannya ialah sejauh manakah guru Bahasa Melayu (BM) melaksanakan
pengajaran menggunakan komputer dan tahap penguasaan guru serta kekangan yang
dihadapi. Ertmer (1999) dan Hokanson & Hooper (2004) telah mengkaji
penggunaan secara efektif keperluan teknologi yang semakin bertambah dan ingin
melihat cara guru menggunakan teknologi dan sebab mereka menggunakannya. Mereka
juga memfokuskan peranan utama pendekatan pedagogi yang digunakan dalam
pengajaran di bilik darjah. Terdapat beberapa isu yang sering dikaitkan dalam
pengajaran menggunakan komputer. Stallard (1998) dalam kajiannya menyatakan
bahawa keadaan yang menjadikan pengajaran tersebut tidak berkesan ialah
kurangnya persediaan guru untuk membangunkan pengajaran yang berbantukan
komputer.
Di samping itu
terdapat juga permasalahan dari segi hardware untuk perisian kursus, sikap
guru, pentadbir, latihan, galakan keluarga dan pengaruh komuniti yang
mempengaruhi keberkesanan Pengajaran Bahasa Malaysia (BM) tidak terkecuali
daripada pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Walaupun pelajaran
BM hanya melibatkan penguasaan kemahiran bahasa yang kelihatannya agak mudah
untuk dikuasai, namun masih terdapat beberapa isu yang dianggap boleh
mengganggu keberkesanan pengajaran . Masalah tersebut termasuklah penguasaan
kemahiran asas BM seperti lisan, membaca dan menulis. Pada tahap yang lebih tinggi,
masih terdapat pelajar yang tidak dapat memahami teks yang dibaca dengan
sempurna. Di samping itu, pada tahap sekolah menengah, penguasaan menulis juga
masih lagi perlu diberi perhatian untuk memastikan objektif pengajaran BM
tercapai.
Oleh
hal yang demikian, penggunaan komputer dalam pengajaran BM dilihat sebagai satu
usaha yang sesuai untuk memberikan impak terhadap permasalahan yang dihadapi.
Sebagai alat bantu pengajaran yang terkini sifatnya, penggunaan komputer dilihat
sebagai usaha yang mampu mengubah persepsi pelajar terhadap pembelajaran BM.
Guru BM sebagai pengendali pengajaran, perlu mempunyai keterampilan dalam
mengendalikan pengajaran bahasa berbantu komputer. Walaupun terdapat kesukaran
dalam melaksanakannya, guru perlu bersedia dengan kemahiran dan pengetahuan
selaras dengan keperluan pendidikan kini yang memerlukan pengajaran lebih
berpusatkan pelajar.
Rumusannya, guru
perlu menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer agar pemahaman
yang mantap terhadap konsep tersebut dapat memberi kesan kepada mutu pengajaran
guru. Ini disebabkan terdapat pelbagai pemahaman terhadap konsep yang diberikan
oleh guru BM. Tiga komponen utama yang perlu ada di dalam pengajaran bahasa
berbantukan komputer iaitu komputer, bahasa dan pembelajaran (Finkbeiner,
2001). Guru pada peringkat awal perlu memahami konsep dan prosedur pelaksanaan
pengajaran menggunakan komputer agar memberikan kesan yang optimum kepada
pelajar. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa ada dilakukan oleh guru
BM. Namun, penggunaan yang tidak menyeluruh dari segi keperluan perlu diberikan
perhatian. Contohnya, penggunaan komputer dalam kemahiran menulis sepatutnya
diberikan perhatian kerana penggunaan komputer mampu membantu pelajar dalam
menyusun organisasi teks serta dapat memudahkan penyuntingan dilakukan. Bagi
memastikan keberkesanan pengajaran, bahan bantu yang digunakan perlulah dapat
membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan (Yahya Othman,
2007).
Kursus
komputer telah dihadiri oleh kebanyakan guru BM. Untuk menjamin keberkesanan penggunaan
dalam pengajaran, kursus yang dihadiri perlu dikaitkan dengan pembinaan bahan pembelajaran.
Perisian yang sesuai boleh digunakan untuk tujuan tersebut. Ini bersesuaian dengan
dapatan kajian oleh Jeong-Bae Son (2006) yang menunjukkan penggunaan komputer dalam
pengajaran terutama yang melibatkan kursus dalam talian mampu menarik perhatian
pelajar. Kesan
penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran BM juga didapati positif dengan
kebanyakan sampel menyatakan demikian. Antaranya ialah penggunaan komputer dapat
memupuk minat yang mendalam terhadap penguasaan BM. Kajian yang dijalankan oleh
Saad Al Kahtani (1999) menunjukkan penggunaan komputer dalam pengajaran menulis
karangan dapat memberi kesan terhadap pencapaian pelajar.
Kekangan yang
dihadapi oleh guru BM dalam melaksanakan pengajaran berbantukan komputer meliputi
aspek kursus peningkatan, pelajar yang pelbagai kecerdasan, teknologi komputer
yang sering berubah, masa yang diperlukan untuk membuat persediaan pengajaran,
dan sebagainya boleh memberi kesan terhadap pengajaran. Stallard (1998) pula
menghuraikan faktor kebolehan guru dalam pengendalian komputer, penyediaan
bahan pengajaran dan strategi yang sesuai digunakan merupakan kekangan yang
sering dihadapi. Dalam hal ini, perancangan dan persediaan pihak pentadbir
sekolah dalam menyediakan guru-guru agar benar-benar menguasai kemahiran
tersebut perlu dilakukan secara profesional.
Masalah dalam
penggunaan komputer perlu dihadapi dengan memberikan penekanan kepada penggunaan
ICT dalam pengajaran sebagaimana yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran. Sukatan
pelajaran BM perlu dirujuk untuk melihat keperluan menggunakan komputer dalam pengajaran.
Selain itu, penekanan pengajaran secara integrasi dalam mata pelajaran yang
lain juga mampu untuk membantu pelajar mahir dalam sesuatu tajuk (Hokanson
& Hooper, 2004).
Kesimpulannya, BM sedang mengalami zaman penuh
cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap kepentingannya dalam
pengajaran (A. Aziz Deraman, 2007). Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu
diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan kemahiran bahasa yang
diajarkan. Penggunaan komputer dalam pengajaran BM berupaya meningkatkan lagi
keupayaan pelajar dalam menguasai BM dengan lebih baik. Oleh itu, aspek latihan
dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkan penggunaan
internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai dengan keperluan
semasa perlu diberikan perhatian.
(Dipetik daripada http://eprints.utm.my/5968/1/08-yahya.pdf)
No comments:
Post a Comment